Niat Puasa Sunat Zulhijjah, Hari Tarwiyah, Arafah & Kelebihan

Digalakkan berpuasa di Bulan Zulhijjah, Tarwiyah dan Arafah. Diampuni dosa setahun yang lepas – Sumber Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

NIAT PUASA SUNAT NIAT PUASA SUNAT ZULHIJJAH, HARI TARWIYAH (8 ZULHIJJAH), HARI ARAFAH (9 ZULHIJJAH) DAN KELEBIHANNYA

Terdapat beberapa amalan yang sunnah dapat kita lakukan di dalam bulan Zulhijjah yang istimewa ini.

Antaranya adalah puasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah. Terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah kerana pada hari tersebut merupakan Hari Arafah dimana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di  Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Seterusnya melaksanakan ibadah Korban pada Hari Raya AidilAdha atau pada hari Tasyriq. Bagi sesiapa yang berkemampuan, hendaklah mereka merebut peluang ini kerana ganjarannya amatlah besar disisi Allah SWT.

Dan yang terakhir, kita digalakkan mengagungkan kebesaran Allah dengan berzikir melalui bertahmid, bertasbih, bertahlil dan bertakbir.

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” [HR al-Bukhari, hadis sahih]

Niat Puasa Sunat Zulhijjah

Niat Puasa Sunat Zulhijjah (1-7 Zulhijjah)

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ ذِيْ الْحِجَّةِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku puasa sunat di bulan Zulhijjah kerana Allah Ta’ala”

Niat Puasa Sunat Tarwiyah

Niat Puasa Sunat Tarwiyah(8 Zulhijjah)

نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana Allah Ta’ala”

Niat Puasa Sunat Arafah

Niat Puasa Sunat Hari Arafah (9 Zulhijjah)

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku niat puasa sunat hari Arafah kerana Allah Ta’ala”

HARAM PUASA :

Hari Raya Aidiladha : 10 Zulhijjah = Isnin, 17 Jun 2024

Hari Tasyrik : 11 Zulhijjah = Selasa, 18 Jun 2024

Hari Tasyrik : 12 Zulhijjah = Rabu, 19 Jun 2024

Hari Tasyrik : 13 Zulhijjah = Khamis, 20 Jun 2024

Makna Tarwiyah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya mempunyai dua sebab penamaan hari tersebut dengan hari Tarwiyah.

Para jemaah haji setelah berihram akan menuju ke Mina untuk bermalam. Ini kerana, pada keesokan harinya, mereka akan menuju ke Arafah. Ketika di Mina, para jemaah ini mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah. Mempersiapkan air ini diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون).

Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi buatkali yang pertama daripada Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Seharian Baginda AS berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah SWT atau daripada syaitan.

Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zul al-Hijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. [Lihat: al-Mughni, 3/249]

Berkaitan kelebihan hari ini, terdapat sebuah hadith yang menyatakan bahawa berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa selama setahun. Manakala berpuasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan dosa selama dua tahun.

Dikatakan bahawa Rasululah SAW telah bersabda,

صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ

Maksudnya: “Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun.”

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Dailami di dalam kitabnya Musnad al-Firdaus [2/248].

Sumber: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3631-irsyad-al-hadith-siri-ke-404-apakah-maksud-hari-tarwiyah-dan-apakah-kelebihannya dan https://ecentral.my/puasa-zulhijjah-tarwiyah/

Terdapat sebarang komen dan pertanyaan boleh lontarkan komen dan pertanyaan anda di ruang komen yang telah disediakan dan tinggalkan juga nombor telefon bimbit anda agar senang untuk kami hubungi anda kembali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

×