Bagnaia sambar petak utama, lebur rekod sepusingan terpantas

MotoGP

Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia pada sesi latihan bebas MotoGP sempena GP Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang.

SEPANG: Juara bertahan MotoGP dari pasukan Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia menyambar petak utama perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2023 selepas aksi kelayakan hari ini berlangsung dengan penuh drama.

Bagnaia dan Jorge Martin saling memecahkan rekod sepanjang zaman di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada kelayakan kedua hari ini sebelum pesaingnya dari pasukan Prima Pramac Racing itu terjatuh pada baki sesi berkenaan.

Francesco Bagnaia (tengah) meraikan kejayaan menyambar petak utama bersama Jorge Martin (kiri) dan Enea Bastianini selepas sesi kelayakan MotoGP GP Malaysia di Sepang. – AFP

Martin yang juga pemegang rekod terlebih dulu memecahkan catatan masa sepusingan terpantas dilakukannya tahun lalu 1 minit 57.790 saat (s) dengan catatan baharu 1:57.5490s namun Bagnaia berjaya meleburkannya apabila melakukan 1’57.491s.

Persaingan sengit antara kedua pelumba ini seakan memberikan gambaran yang persaingan perlumbaan esok bakal menjadi lebih ‘tegang’ memandangkan Martin hanya ketinggalan 13 mata di belakang Bagnaia yang mendahului carta keseluruhan dengan 389 mata.

Francesco Bagnaia (kanan) meraikan kejayaannya menyambar petak utama dengan Jorge Martin (L) selepas sesi kelayakan kedua MotoGP GP Malaysia di Sepang. – AFP

Perlumbaan esok bakal menyaksikan tiga pelumba Ducati mendominasi barisan pertama dengan Bagnaia memimpin petak pertama, disusuli Martin dan rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini di petak ketiga.

Barisan kedua juga menyaksikan barisan jentera Ducati yang dipimpin Alex Marquez (Gresini Racing MotoGP) di petak keempat, Luca Marini (Mooney VR46 Racing Team) kelima dan 2 Marco Bezzecchi (Mooney VR46 Racing Team) keenam.

“Hari ini kami menunjukkan peningkatan. Sesuatu yang menakjubkan buat saya dan semua. Bukan mudah pada sesi kelayakan hari ini dan sudah pasti saya menunggu perlumbaan seterusnya,” kata Bagnaia.

Aksi Jorge Martin pada sesi latihan kedua MotoGP GP Malaysia di Sepang, – AFP

Untuk rekod, Bagnaia, 26, sedang memburu gelaran kedua berturut-turutnya pada musim ini selepas meraih gelaran pada 2022.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

×