
Sumber : Metro Online – hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Genap 31 hari pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir meninggal dunia, namun tanda pagar #JusticeforZara masih kekal di tangga teratas ‘trending’ media sosial di Malaysia.
Bukan saja di Sabah dan Sarawak, malah ribuan rakyat di Semenanjung Malaysia turun ke jalanan dalam perhimpunan aman menuntut pembelaan ke atas kematian gadis itu.
Kes Zara Qairina mendapat perhatian komuniti luar apabila tanda pagar#JusticeforZara dan poster remaja itu dipaparkan di semua platform antarabangsa. Terbaharu, melalui video yang dikongsi ibu kepada arwah Zara Qairina di Facebook rasminya, seorang wanita Palestin memegang kertas tertera #JusticeforZara dan #FreePalestine.
“Zara Qairina, daripada tanah yang penuh luka dan patah hati, kami kirimkan doa agar kebenaran untukmu terbongkar laksana umpama fajar yang memecah gelap malam yang panjang, darah dan air mata kanak-kanak Palestin dan Malaysia tidak akan pernah hilang ertinya,” kata wanita Palestin yang dikenali sebagai Razan dari Semenanjung Gaza itu.
Bukan saja itu, empat remaja Thailand dilihat memegang poster Zara Qairina dari Hat Yai yang videonya turut dikongsi ibu arwah. Tidak ketinggalan seorang lelaki memegang kertas #JusticeforZara ketika melintas jalan di Jepun. Malah, ratusan peserta perhimpunan melaungkan ‘Justice For Zara Qairina’ bagi menyatakan simpati terhadap arwah di hadapan pusat beli-belah Sogo, malam kelmarin.
Para peserta mula berkumpul seawal jam 7 petang, menunaikan solat Maghrib secara berjemaah sebelum meneruskan program dengan bacaan Yasin, diikuti himpunan yang berlangsung secara aman. Beberapa individu dalam kalangan aktivis masyarakat menyampaikan ucapan solidariti menuntut supaya kematian pelajar itu mendapat pembelaan sewajarnya.
Bukan saja itu, wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili keluarga arwah, Marhamah Rosli turut berkongsi lebih 10 poster di Facebooknya berkaitan solidariti dan perhimpunan aman yang diadakan di seluruh negara dan dunia.
“Dari Sabah ke Semenanjung, sampai ke Melbourne, Australia, suara kita bersatu demi keadilan untuk Almarhumah Zara Qairina. “Turunlah dengan hati yang ikhlas, bersuara dengan adab, memohon dengan doa dan munajat,” tulisnya. Marhamah juga turut menasihati supaya mereka yang berhimpun menjaga kata-kata, mengelak provokasi dan memastikan lokasi bersih sebelum dan selepas berhimpun.
Kematian Zara Qairina mencetuskan fenomena luar biasa sehingga memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu secara mendalam. Remaja berusia 13 tahun itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama jam 4 pagi pada 16 Julai lalu. Arwah kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu sehari selepas itu.
Bagaimanapun, siasatan pasukan task force Bukit Aman berhubung kematian pelajar itu mendapati terdapat unsur buli sebelum kejadian.
Kunjungi laman web kami hari ini di rahmanmat.com dan mulakan langkah anda!



Pejabat Urusan – Kuala Lumpur – No 68, Lorong Naluri Sukma 8/14, 42300 Bandar Puncak Alam, Puncak Alam Selangor – 012-6568704
Pejabat Urusan – Kuching – No.7B (Sublot 46), Lot 14179, Section 65, Kuching Town Land District, Metrocity Commercial Precinct, Jalan Matang, 93050 Kuching, Sarawak – No Tel : 082-521 656