Piala Asia 2023 : HARIMAU MALAYA KALAH BERDEPAN BAHRAIN

Malaysia berjaya mengikat kedudukan seri tanpa jaringan pada 90 minit masa permainan. – Foto FB/AFC Asian Cup

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kekalahan kedua dalam saingan peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 selepas tewas 0 – 1 di tangan Bahrain, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menduduki tempat terbawah dalam kumpulan tanpa sebarang mata, dengan baki satu perlawanan menentang Korea Selatan pada 25 Januari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Jassim Bin Hamad itu, Malaysia memberi saingan sengit dan berjaya mengikat kedudukan seri tanpa jaringan pada 90 minit masa permainan.

Memasuki minit kelima masa tambahan, Bahrain mendapat sepakan sudut yang kemudiannya menghasilkan gol menerusi sepakan Ali Madan.

Dalam perlawanan pertama pada 15 Januari lalu, Malaysia tewas 0 – 4 kepada Jordan.

Untuk rekod, ini merupakan kali keempat Malaysia tewas kepada Bahrain sejak 2013.

Bahrain yang dibimbing Juan Antonio Pizzi menghuni ranking ke-86 dunia, manakala Malaysia di tangga ke-130.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *