Penerbangan Kuching ke Pontianak akan dimuktamad selepas lantikan Gabenor baharu KALBAR

KUCHING : Pengaktifan semula penerbangan laluan Kuching ke Pontianak akan dapat dimuktamadkan selepas pelantikan Gabenor Kalimantan Barat (KALBAR) baharu menerusi Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia, kata Konsul Jenderal Republik Indonesia di Sarawak Raden Sigit Witjaksono.

Beliau berkata, pemilihan gabenor baharu di kawasan berkenaan dijangka berlangsung antara September hingga November depan.

“Kita juga sangat berharap ketersambungan penerbangan tidak hanya dari Kuching ke Jakarta, tetapi juga dari Kalimantan Barat (Pontianak) yang sebelum pandemik (COVID-19) juga sudah ada. Selepas Pilpres (Pemilihan Presiden) untuk Presiden dan Naib Presiden, kita akan adakan Pemilu untuk gabenor”.

“Sekarang ini semua gabenor hanya memangku jawatan itu, jadi kalau sudah ada gabenor nanti sudah pasti kita harap Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio di Pontianak akan dipertimbang supaya bangunkan laluan Kuching-Pontianak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Bhakti Imigrasi ke-74 (Hari Perkhidmatan Imigresen ke-74), di pejabat Konsul Jenderal Republik Indonesia di sini pada Sabtu lepas.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dilaporkan berkata, Indonesia telah bersetuju secara prinsip untuk memulakan operasi penerbangan Kuching-Pontianak semasa mesyuarat Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia Filipina (BIMP-EAGA) yang diadakan Ogos lepas.

Mengulas mengenai kekerapan penerbangan AirAsia bagi laluan Jakarta-Kuching yang bakal ditingkatkan bermula 8 Februari ini, Raden berkata, keputusan itu memberi impak positif kepada ekonomi kedua-dua negara.

“Ini bakal meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Indonesia… selain itu, perjalanan bagi destinasi penerbangan ini lebih cepat berbanding Jakarta ke Kuala Lumpur,” katanya.

Semalam, AirAsia dalam kenyataan memaklumkan kekerapan penerbangan bagi laluan berkenaan ditingkatkan kepada setiap hari atau tujuh kali seminggu, daripada tiga penerbangan seminggu, berikutan industri pelancongan kedua-dua negara mengalami fasa pemulihan yang pesat.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *